Tunas Sasar 5,000 Dapat Bantuan Tadika Tahun Depan

tunas sg pelek halimah 02

SEPANG 24 DIS : Syarat permohonan Skim Bantuan Tadika Selangor (Tunas) bakal dilonggarkan bagi meluaskan penyertaan ke dalam skim itu ke 5,000 penerima tahun hadapan.

Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali berkata sebelum ini, bantuan itu terbuka kepada setiap keluarga yang berpendapatan isi rumah di bawah RM 1,500 sebulan.

Namun, Kerajaan Selangor sedang mempertimbangkan untuk menukar syarat tersebut kepada keluarga yang berpendapatan RM 2,500 ke bawah.

“Syarat itu kini sedang dibincangkan dalam mesyuarat Exco, saya harap ia dipertimbangkan,” katanya selepas merasmikan Program Mini Karnival Jelajah Jejak Tunas Daerah Sepang.

15 mins reading break halimah 01

Hadir sama Penyelaras Dun Sungai Pelek, P.Sivakumar dan Pegawai Operasi Tunas Negeri, Abdul Mutalib Islan.

Katanya, sasaran 5,000 penerima dan penyertaan 500 buah tadika yang akan berdaftar dengan skim terbabit selaras dengan peruntukkan baru bagi tahun hadapan iaitu sebanyak RM 3 juta.

“Jika tahun ini kita memperuntukkan sebanyak RM 1.016 juta, tetapi pada tahun depan Kerajaan Negeri Selangor memperuntukkan sebanyak RM 3 juta di bawah bajet 2013.

“Oleh itu, saya berharap kerjasama dari pelbagai pihak termasuk Adun, Penyelaras Dun, Ketua Kampung dan semua pihak supaya dapat membantu menjayakan skim ini,” katanya.

Skim Tunas di bawah agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) adalah bantuan yuran sebanyak RM 50 setiap bulan kepada kanak-kanak tadika yang layak.

Ia dilaksanakan mulai dari 1 Julai tahun ini di mana yuran bagi kanak-kanak yang terpilih dibayar terus kepada tadika yang berdaftar dengan Majlis Permuafakatan Tadika Selangor (MPTS).

Setakat ini, sebanyak 1,903 penerima sudah mendapat faedah dengan penyertaan 232 tadika berdaftar di bawah MPTS termasuk Pasti, Kemas, Pra Sekolah JAIS, Pra Sekolah Kementerian, Tadika Perpaduan dan Swasta.

Sementara itu, Abdul Mutalib berkata daerah Sabak Bernam mencatatkan penyertaan paling ramai skim Tunas diikuti dengan daerah Klang.

“Bagi memastikan program ini berjalan dengan lancar dan menghebahkan kepada orang ramai, kita akan turun ke 56 Dun bagi mengadakan satu ‘Roadshow’ untuk memberi taklimat berkenaan bantuan ini selain mengadakan Hari Keluarga Tunas,” katanya.

tunas sg pelek halimah 03

Bagi peniaga Mohd Azhar Mahmud, 38, bantuan itu dapat meringankan bebannya.

“Saya gembira dengan bantuan ini, walaupun sedikit tetapi sekurang-kurangnya ia dapat membantu peniaga seperti saya ini,” katanya.

Penerima lain, Nor Aznita Othman, 28, dari Bandar Baru Salak Tinggi berharap bantuan itu akan diteruskan bagi membantu keluarga yang berpendapatan rendah.

“Ia akan membuktikan keprihatinan Kerajaan Negeri, contohnya saya yang mempunyai tiga orang anak, tidak bekerja hanya mengharapkan suami saya yang hanya bekerja di kilang sahaja,” katanya.\

http://www.selangorku.com/?p=20373

Selangor Sasar 2,500 Keluarga Dapat Bantuan Tadika Tahun Depan

PETALING JAYA 2 DIS : Kerajaan Negeri mensasarkan penyertaan 2,500 keluarga dalam Skim Bantuan Tadika Selangor (Tunas) pada tahun depan di seluruh negeri dengan peruntukan dana RM 3 juta.

Setakat ini, skim tersebut mendapat sambutan yang menggalakan dengan penyertaan 1,500 keluarga dalam lima bulan sejak ia dilancarkan Julai lalu kata Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali.

“Tunas adalah langkah bagi membantu ibu bapa (berpendapatan rendah) dengan setiap keluarga mendapat bantuan RM 50 sebulan menerusi pusat asuhan kanak-kanak yang berdaftar dengan Majlis Permuafakatan Tadika Selangor,” Dr Halimah berkata.

Skim tersebut telah membantu ibubapa seperti Rashidi Hashim, 34, seorang operator pengeluaran dari Taman Medan.

Dengan bantuann itu beliau sekarang mampu menghantar anaknya Muhammad Izwan Muiz, enam tahun ke Pusat Asuhan Tadika Islam (Pasti) AlRaudhah di Taman Datuk Haron di sini.

“Saya gembira dengan langkah ini yang membuktikan keprihatinan Kerajaan Negeri dan rakyat mendapat kebaikan dari program dijalankan serta pembelaan dari segi kewangan,” katanya.

Beliau ditemui di Mini Karnival Jelajah Jejak Tunas Selangor 2012/2013 di Dataran Anak Muda PJS1/25, Taman Medan di sini hari ini yang dirasmikan Dr Halimah.

Skim di bawah agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) ini terbuka kepada setiap keluarga yang berpendapatan isi rumah di bawah RM 1,500 sebulan.

“Dalam keadaan sekarang memang diakui Kementerian Pelajaran bahawa ramai kalangan ibu bapa di negara ini yang tidak menghantar anak mereka ke pusat asuhan kanak-kanak,” Dr Halimah berkata.

“Kajian dari seluruh dunia mendapati pendidikan bagi anak-anak di bawah enam tahun adalah kritikal,” Dr Halimah di dalam ucapannya.

Turut hadir, Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Teresa Kok Suh Sim dan Timbalan Speaker  Dewan Negeri Selangor (DNS) merangkap Adun Taman Medan, Haniza Talha.

Sambutan Hari Kanak-Kanak Selangor 2010

Shah Alam: 21 November 2010 / 14 Zulhijjah 1431H

Melihat gelagat anak-anak berusia 5 dan 6 tahun menyusun baris kata-kata semasa membuat persembahan di Sambutan Hari Kanak-Kanak Negeri  Selangor 2010 begitu mencuit hati penonton. Gelak tawa berderai memecah suasana di Kompleks PKNS Shah Alam, 21 November 2010 baru-baru ini.

Program anjuran Jawatankuasa Tetap Pendidikan Negeri Selangor dan Majlis Permuafakatan Tadika Selangor (MPTS) ini menghimpunkan 30 buah tadika seluruh negeri Selangor termasuklah Shah Alam, Klang, Meru, Kuala Langat, Rantau Panjang, Kota Damansara mahupun Cheras.

Perasmian program disempurnakan oleh YB Dr Hajjah Halimah Ali, Exco Kerajaan Negeri Selangor. Apa yang menarik, program yang dijadikan sebahagian acara tahunan negeri Selangor ini didorong oleh keinginan Kerajaan Negeri Selangor untuk meningkatkan kerjasama dan memperkukuhkan hubungan dengan pengurus, guru-guru dan pembantu tadika-tadika yang berdaftar di bawah MPTS.

Selain SPIES, program ini turut mendapat kerjasama TAWAS dan PPAS. Antara persembahan yang terlibat ialah persembahan hafazan juzuk Al-Quran, nasyid, choral speaking, dikir barat, tarian, pantun, bercerita, sketsa, qasidah, silat dan persembahan boria.

Majlis diacarakan oleh Bro Waie Ramly dan Sis Mass Mohamad dari Nasyeed.Com. Nasyeed.Com turut menyediakan sistem siaraya, sistem MCP, skrin dan projektor dan rekabentuk bahan cetak.

Berita oleh: Sis Mass Mohamad (mass.nasyeed.my/ masliza@nasyeed.com)

Short Talk dari wakil PERTIM, Puan Hjh. Zaharah Awang yang membincangkan
“Hak Kanak-Kanak & Keselamatan”
Persembahan Dikir Puteri oleh anak-anak yang berumur 5 tahun dari
“Tadika Ummi Bestari, Kota Damansara”
Persembahan nasyid yang tidak kurang hebat
Pengacara Program gandingan Bro Waie & Sis Mass, Nasyeed.Com
Terserlah bakat mereka walaupun usia baru mencecah 5 ke 6 tahun
Ucapan aluan oleh YB Dr Hajjah Halimah Ali, Exco Kerajaan Negeri Selangor
Bro Zaidi Wildan mendendangkan Lagu “Kasih Sayang”